Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawaan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Pesakit wabak kurang, penggunaan katil hospital turun 20 peratus

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di Selangor menurun berdasarkan penggunaan katil yang berkurangan 20 peratus dalam tempoh 1 hingga 17 Ogos.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata penggunaan semasa 7,780 katil disediakan bagi berdepan penularan wabak itu menunjukkan 81 peratus diguna berbanding 101 peratus pada 1 Ogos.

Jelasnya, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) juga berkurangan kepada 90 hingga 100 peratus berbanding melebihi kapasiti sebelum ini.

“Malah ketika kes memuncak pesakit kritikal terpaksa dirawat menggunakan ventilator di luar ICU.

“Dua minggu ini kita lihat keadaannya semakin baik, golongan berusia 60 tahun ke atas semakin berkurangan di ICU selepas kumpulan itu menerima vaksin,” katanya di sini semalam.

Dr Sha’ari turut menasihatkan individu menghidap penyakit kronik berhati-hati dan sentiasa patuh tatacara operasi piawai walaupun sudah menerima vaksin.

“Dapatkan rawatan secukupnya dan pastikan diri dalam keadaan sihat.

“Kalau dijangkiti mungkin gejalanya teruk tetapi dapat dikurangkan dengan vaksin,” katanya.


Pengarang :