Orang ramai menunggu giliran untuk disuntik ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Ijok di Dewan Besar Yuk Chih Bistari Jaya, Kuala Selangor pada 7 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Petugas Selvax DUN Ijok kunjungi rumah individu terlantar beri suntikan

BESTARI JAYA, 7 OGOS: Proses pemberian vaksin di rumah untuk individu terlantar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok berlangsung esok, kata wakil rakyat.

Dr Idris Ahmad berkata menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti, inisiatif itu akan memanfaatkan 15 individu terdiri daripada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Proses ini melibatkan tiga pasukan. Pihak DUN menyediakan petugas dan mereka merupakan jururawat bertauliah yang dibenarkan menyuntik.

“Kita faham kekangan dihadapi golongan ini, jadi ini sebagai inisiatif membantu mereka,” katanya ketika ditemui di program Selvax Komuniti di Dewan Besar Yuk Chih hari ini.

Sebelum ini beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) menyuarakan hasrat melaksanakan suntikan rumah ke rumah bagi membantu golongan berdepan masalah datang ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Antaranya ADN Sentosa Dr Gunaraj George, Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan Bukit Lanjan Elizabeth Wong.


Pengarang :