Selangorkini
Regu badminton lelaki negara Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (kiri) bergambar bersama pingat gangsa yang dimenangi selepas mengalahkan regu dari Indonesia di temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza pada 31 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Pingat pertama ceriakan kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo

TOKYO, 1 OGOS: Memasuki hari sembilan berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 semalam, Kontinjen Malaysia boleh menarik nafas lega apabila beregu badminton lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbangkan pingat pertama buat negara pada temasya sukan berprestij itu.

Biarpun bukan kilauan emas, pingat gangsa yang diperoleh Aaron-Wooi Yik itu cukup bermakna selepas Kontinjen Malaysia ketandusan pingat setelah beberapa atlet negara yang menjadi sandaran gagal merealisasikan sasaran yang diharapkan.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang diharapkan menghadirkan pingat buat negara terkandas di pusingan 16 terbaik, begitu juga dengan gandingan Pandelela Rinong-Leong Mun Yee dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita.

Turun membawa harapan jutaan rakyat Malaysia agar pingat gangsa yang juga pingat pertama itu menjadi milik Malaysia, pasangan Aaron-Wooi Yik tidak menghampakan apabila menundukkan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan di Musashino Forest Sport Plaza, di sini, malam tadi.

Pusat Akuatik Tokyo turut menjelmakan khabar gembira apabila penerjun negara Nur Dhabitah Sabri berada pada landasan yang betul dalam memburu pingat Sukan Olimpik Tokyo selepas layak ke saingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita individu.

Penerjun berusia 22 tahun itu mempamerkan terjunan konsisten dalam kelima-lima terjunan, menyaksikannya yang bermula di tempat kesembilan pada terjunan pertama melonjak ke kedudukan keenam selepas lima terjunan.

Nur Dhabitah Sabri mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan separuh akhir acara 3m papan anjal wanita individu di Pusat Akuatik Tokyo pada 31 Julai 2021. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

Beliau mengumpul 312.60 mata keseluruhan pada saingan separuh akhir semalam. Hanya 12 penerjun terbaik layak ke akhir yang dijadual pada 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada Ahad (1 Ogos).

Di Kasumigaseki Country Club, pemain golf utama negara Gavin Green mempamerkan permainan memuaskan dengan melakukan pukulan satu bawah par 70 di pusingan ketiga, namun masih gagal memperbaiki kedudukannya daripada menghuni kedudukan tiga terbawah.

Pemain berusia 27 tahun itu yang mencatat tiga atas par 74 dan satu atas par 72, masing-masing di pusingan pertama dan kedua, melakukan lima birdie dan empat bogey hari ini, untuk mencatat keseluruhan tiga atas par 216 sekali gus berkongsi kedudukan bersama pemain Puerto Rico Rafael Campos (73-73-70) di tempat ke-58 daripada 60 pemain.

Juara empat kali Jelajah Persatuan Pemain Golf Profesional (PGA) Xander Schauffele dari Amerika Syarikat kekal mendahului saingan apabila melakukan tiga bawah par 68, sekali gus mengungguli saingan dengan keseluruhan 14 bawah par 199.

Pusingan keempat dan akhir dijadual berlangsung pada 7.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) Ahad (1 Ogos).

Sementara itu, cabaran jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad di Sukan Olimpik Tokyo berakhir apabila terkandas pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki.

Pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu gagal menyaingi kehebatan pemanah Korea Selatan Kim Woojin, yang juga bekas juara dunia, apabila tumpas 0-6 pada aksi yang berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima.

Kim Woojin, yang menghuni ranking kelima dunia ternyata terlalu handal apabila melakukan panahan sempurna 30 mata pada ketiga-tiga set, berbanding Khairul Anuar yang mencatat 27-27-29 mata.

Cabaran penembak wanita negara Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 50 meter (m) Rifle 3 Posisi Wanita turut terhenti di pusingan kelayakan selepas menamatkan saingan di tempat ke-34 pada aksi di Lapangan Menembak Asaka.

Nur Suryani, 38, hanya mengumpul 1,142 mata dalam keseluruhan bidikannya, jauh daripada catatan terbaiknya 1,172 mata yang juga rekod kebangsaan, dan rekod tidak rasmi 1,182 mata yang dilakukan pada sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Tokyo.

Hanya lapan penembak terbaik daripada keseluruhan 37 peserta layak ke peringkat akhir, seterusnya akan bersaing untuk merebut pingat emas.

Sukan Olimpik Tokyo menjadi penampilan kedua Nur Suryani di temasya sukan berprestij itu selepas mencuri tumpuan peminat sukan global pada edisi London 2012 apabila bertanding dalam acara 10m Air Rifle Wanita meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.

Sementara itu, di Enoshima Yacht Harbour, gandingan pelayar negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali yang berada di kedudukan ke-20 daripada 21 peserta dalam acara International 470 Wanita, setelah mengumpul 91 mata bersih akan meneruskan Perlumbaan Ketujuh dan Kelapan hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :