Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sentosa di pusat pemberian vaksin (PPV) De Palma Hotel, Shah Alam pada 4 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pinjamkan 500,000 dos vaksin bantu negara cepatkan imuniti kelompok

SHAH ALAM, 26 OGOS: Keputusan Kerajaan Selangor meminjamkan 500,000 dos vaksin kepada negeri lain tindakan tepat bagi mempercepat imuniti kelompok dalam negara.

Wakil rakyat Kota Anggerik berkata suntikan pelalian salah satu usaha mengekang penularan wabak dengan kerajaan dan rakyat perlu bersama memainkan peranan.

“Kita harap sumbangan ini dapat membantu kerajaan menambah baik jumlah kapasiti penerima vaksin di seluruh negara dan pada masa sama masyarakat perlu beri kerjasama.

ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi bercakap kepada media selepas membuat lawatan Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini bukan tugas kerajaan semata-mata tetapi semua peringkat masyarakat untuk bangkit kesedaran supaya ramai lagi ambil vaksin,” kata Najwan Halimi ketika ditemui.

Sementara itu, wakil rakyat Bukit Gasing meminta Kerajaan Negeri mempertimbang semula hasrat untuk meminjamkan vaksin berikutan masih ramai penduduk negeri ini belum disuntik.

“Kita beli dengan peruntukan kita sendiri sepatutnya dahulukan rakyat kita, bukan kata tak nak tolong negeri lain tetapi keperluan di Selangor masih ada,” kata Rajiv Rishyakaran.

Kerajaan Negeri meminjamkan 500,000 dos bekalan vaksin yang dibeli kepada Pasukan Petugas
Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kedah, Pulau Pinang dan Sabah antara penerima selain dijual kepada syarikat swasta di negeri berkenaan.

Sebanyak 500,000 dos vaksin percuma dibeli bagi mempercepat pemberian vaksin kepada warga emas, golongan berpendapatan rendah, orang kelainan upaya dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Sebanyak dua juta dos turut disediakan kepada majikan untuk diagih percuma kepada sejuta pekerja termasuk warga asing.


Pengarang :