Ketua Pegawai Operasi PKNS Suhaimi Kasdon (dua, kanan) bersama Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah Mohd Wazir Abdul Gani (kiri) Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan Saharom Mohni (tengah) dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Utara Azilah Arshad (kanan) melihat model rumah sempena majlis pelancaran PKNS Plus Mesti Beli 2021 di bangunan Ibu Pejabat PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 26 Ogos 2021. Foto ihsan PKNS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS Plus Mesti Beli sasar jualan hartanah RM24 juta

SHAH ALAM, 26 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan jualan hartanah bernilai RM24 juta menerusi program PKNS Plus Mesti Beli yang menampilkan pelbagai produk menarik.

Ketua pegawai operasinya berkata sasaran jualan 25 unit hartanah itu membabitkan tujuh projek dengan tawaran yuran guaman dan duti setem percuma serta barangan Smart Home sehingga RM15,000 kepada pelanggan.

Suhami Kasdon menjelaskan tujuh projek terbabit terletak di Bernam Jaya atau Rafflesia, Kota Puteri atau Puteri Daffina X, Antara Gapi, Selangor Cyber Valley atau Residensi Aurora dan Alam Nusantara atau Kehijauan Enklaf.

“Program ini bersempena ulang tahun PKNS ke-57 dan bulan kemerdekaan selain mempromosikan produk hartanah kepada orang awam dengan pelbagai keistimewaan seperti rumah sedia diduduki serta pakej hiasan dalaman untuk projek terpilih.

“Ia juga memberi fokus kepada usaha memperkenalkan perbandaran PKNS yang mempunyai kemudahan dan infrastruktur pesat membangun kepada penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Program PKNS Plus Mesti Beli akan dijalankan secara hibrid iaitu digital dan konvensional manakala penjualan dalam talian melalui PKNS X Line serta media sosial PKNS Property.

Sementara itu, Suhami berkata medium terbaharu Online Experience disediakan pada Sabtu dan Ahad ini bagi memudahkan pelanggan mengakses maklumat hartanah PKNS seperti harga projek, pelan lantai, pelan tapak dan peta akses.

“Pembeli akan mendapat maklumat lebih tepat dan pantas bertepatan hasrat PKNS untuk memberi keutamaan kepada pelanggan dengan menaik taraf khidmat jualan,” katanya.


Pengarang :