Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Perdana Putra pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM terpaksa kuarantin, tidak hadir istiadat angkat sumpah menteri

SHAH ALAM, 30 OGOS: Perdana menteri yang menjalani kuarantin setelah menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 tidak dapat hadir majlis istiadat angkat sumpah barisan menteri kabinetnya hari ini.

Susulan itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengangkat sumpah seminggu lalu, terpaksa menyertai program sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Putrajaya esok secara maya, kata Pejabat Perdana Menteri.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia barisan kabinet baharu di depan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dijadual bermula jam 2.30 petang ini.

“Bagi sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang dijadual berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya esok, perdana menteri akan menyertainya secara maya,” kata pejabat beliau lagi dalam kenyataan.

Dua daripada 31 menteri serta 38 timbalan menteri tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Mereka ialah Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif Covid-19.


Pengarang :