Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen pada 26 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Usul bahas, ungkai Ordinan Darurat dijadual September

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan akan membincangkan usul bagi perbahasan dan mengungkaikan Ordinan Darurat yang bakal dibawa dalam sidang Parlimen dijadual pada September ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangan berhubung perkara itu akan dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri esok.

“Adalah dimaklumkan bahawa proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana disembah nasihat jemaah menteri pada 23 Julai tidak dapat disempurnakan.

“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan perkara berkenaan secara harmoni dan berperlembagaan.

Katanya, selaras dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen dijadualkan pada September ini.


Pengarang :