Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua dari kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols sebagai perakuan mendaftar inisiatif pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) di kilang Nestle, Seksyen 15, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

 Dua usaha Selangor: POIS bendung wabak di tempat kerja, Selvax tingkat imuniti penduduk

SHAH ALAM, 3 OGOS: Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) dan Vaksin Selangor (Selvax) yang giat dilaksana ketika ini berjaya mengekang wabak di tempat kerja dan sekali gus memulihkan ekonomi.

“POIS adalah sistem saringan yang tersusun untuk kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster serta perebakan wabak Covid-19,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program yang dimulai pada 19 Januari lalu, lebih awal daripada usaha seumpamanya yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), disertai oleh 1,500 kilang.

“Syarikat berperanan aktif melaksanakan inisiatif saringan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM),” katanya di Facebook.

Selvax, program suntikan 2.5 juta dos yang dibeli Kerajaan Negeri, dibahagi kepada dua, Industri dan Komuniti, bertujuan membantu meningkatkan kadar vaksinasi yang disediakan kerajaan persekutuan.

Amirudin menjelaskan Selvax Komuniti menawarkan vaksin kepada majikan atau syarikat bagi membantu mereka mempercepat kekebalan badan terhadap virus di kalangan para pekerja.

“Majikan akan membeli dos vaksin untuk diberikan kepada pekerja mereka dengan syarat tidak mengenakan kos,” katanya lagi.

Selvax Industri menyediakan dua juta dos vaksin, sementara 500,000 dos Selvax Komuniti pula diagih untuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah.

 


Pengarang :