Setiap pekerja Nestle’ wajib menjalani ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) dua kali seminggu bagi mengelakkan penularan Covid-19 di kilangnya, sebelum ini saringan dibuat sekali seminggu sekali namun ditingkatkan susulan peningkatan kes harian di Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

POIS syor kerap uji pekerja, Nestle’ saring dua kali seminggu

SHAH ALAM, 8 OGOS: Pekerja Nestle’ (Malaysia) Berhad terutama yang bertugas di kawasan kilang wajib membuat ujian Covid-19, antara langkah yang disyor dalam Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Pengarah eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulannya berkata ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) turut diwajibkan kepada pelawat dan kontraktor bagi mengelak penularan virus ke kilang seterusnya mengganggu operasi.

Dato’ Adnan Hisham Pawanteh menjelaskan ujian itu mulanya dijalankan seminggu sekali sebelum kekerapannya ditambah kepada dua kali susulan peningkatan kes dalam sektor industri kebelakangan ini.

Pengurus Kejuruteraan Nestle’ Manufacturing Malaysia, Bryan Wong Aun Ee menunjukkan sistem pengisytiharan kesihatan dibangunkan Nestlé yang perlu diisi sebelum memasuki kilang bagi mengesan sama ada pekerja mempunyai gejala wabak atau sebaliknya. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ada orang yang tiada gejala dan tidak boleh dikesan, sebab itu kita guna ujian RTK-Ag dan ini salah satu cadangan (POIS) yang kita sudah laksana,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Syarikat pengeluar makanan dan minuman terkemuka menjadi kilang terawal memenuhi komponen POIS. Sijil pengiktirafannya disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 22 Februari lalu.

Di Selangor, syarikat berkenaan memiliki tiga kilang, semuanya terletak di sini iaitu di Seksyen 15, Sri Muda dan Batu Tiga selain satu pusat pengedaran.

Adnan berkata syarikat mengadakan perbincangan dengan Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli termasuk kaedah berkesan bagi menjejak pembawa virus sebelum menyertai POIS.

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan POIS sebagai penghargaan kepada warga kerja Nestle’ yang berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai dalam membendung penularan virus di kilang.

“Pengiktirafan ini juga beri keyakinan kepada pekerja dan tidak was-was datang bekerja di kilang kerana persekitarannya selamat,” katanya lagi.


Pengarang :