AGENDANASIONAL

Polis buru empat suspek samun kedai emas di Kepong

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Polis sedang mengesan empat lelaki dipercayai warga tempatan disyaki terbabit dalam kes samun sebuah kedai emas di Jalan Metro Perdana, Kepong di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata keempat-empat suspek dipercayai melakukan jenayah itu kira-kira 5.30 petang dengan memakai topeng muka dan bertopi keledar, serta bersenjatakan sebilah tukul dan kapak.

Beliau berkata suspek melarikan sejumlah barangan kemas berupa rantai leher dan rantai tangan yang nilainya dipercayai mencecah ratusan ribu ringgit.

“Ketika kejadian, seorang suspek berpura-pura mengimbas MySejahtera sebelum tiga lagi individu menyerbu masuk ke dalam premis berkenaan dan melarikan sejumlah rantai tangan dan leher dalam tempoh kurang seminit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beh berkata ketika kejadian terdapat tujuh pekerja wanita di dalam premis tersebut dan seorang daripadanya pengsan akibat ditolak suspek.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti dua motosikal digunakan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan, selain meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

-BERNAMA


Pengarang :