Petugas kesihatan memberi suntikan kepada penerima vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 7 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

PPV Tropicana Gardens Mall sedia 5,000 slot tanpa janji temu setiap hari

PETALING JAYA, 8 OGOS: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini menyediakan 5,000 slot suntikan pelalian tanpa janji temu setiap hari menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Ketua pegawai kejururawatan Selgate Healthcare Sdn Bhd berkata tawaran terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas tinggal di sekitar Lembah Klang khususnya Selangor bermula 3 hingga 13 Ogos ini.

Shazana Aimi Kamarudin menjelaskan slot disediakan PPV terbabit paling banyak berbanding di empat lokasi terpilih lain yang menawarkan kaedah sama, dengan hanya 2,000 kuota.

“Sehingga hari ini (semalam), jumlah peserta yang hadir tanpa janji temu sangat menggalakkan walaupun setiap hari kita hanya menerima sekitar 500 peserta.

Ketua Pegawai Kejururawatan Selgate Healthcare Sdn Bhd, Shazana Aimi Kamarudin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Mungkin ramai memilih menggunakan kaedah sama di PPV kendalian kerajaan persekutuan, namun kita percaya usaha ini mampu membantu mencapai imuniti kelompok terutama di Selangor,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menggalakkan individu yang belum menerima vaksin supaya memanfaatkan inisiatif Kerajaan Selangor sebaik mungkin sementara peluang masih dibuka.

“Mereka boleh tampil ke PPV terpilih dan pastikan memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta masukkan kod baucar disediakan,” katanya.

Selain Tropicana Gardens Mall, Selangor menyediakan empat PPV khusus untuk orang ramai mendapat suntikan tanpa janji temu iaitu di Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala warga asing dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :