Persidangan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Projek bangun HORAS 600 bermula September, babit kos RM200 juta

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerja projek pembangunan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 dijadualkan berlangsung September ini membabitkan anggaran kos RM200 juta.

EXCO infrastruktur berkata pelaksanaan projek ini pada peringkat pelantikan kontraktor dan dijangka siap pada akhir tahun depan melibatkan empat pakej kerja utama.

“Pakej tersebut ialah kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman Archimedean Pump serta yang berkaitan di Kolam HORAS 600 Kampong Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor dan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Kuala Selangor.

“Proses yang sama termasuk kerja pembinaan pelencongan sungai juga dijalankan di muka sauk LRA SSP 1, 2 & 3 Bestari Jaya, Kuala Selangor dan muka sauk LRA Sungai Semenyih, Jenderam Hilir,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berhubung status pelaksanaan penyambungan kolam takungan HORAS 600 ke SSP1, 2, 3 dan Kolam Takungan (Pond C) ke LRA Semenyih pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober lalu menggariskan empat langkah mengatasi gangguan bekalan air.

Perkara tersebut meliputi projek perintis rawatan teknologi nano bagi merawat air Sungai Gong dan menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk.

Turut dilaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS dan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di Bestari Jaya serta pemantauan dan pengawasan 24 jam di kawasan sensitif.


Pengarang :