Pekerja memuatkan kontena yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke dalam trak di Kompleks MASkargo Sepang pada 21 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Purata gaji dan upah bulanan pekerja turun sembilan peratus

SHAH ALAM, 5 OGOS: Purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di Malaysia pada tahun lalu menurun sebanyak sembilan peratus kepada RM2,933 berbanding RM3,224.

Ketua perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata penurunan itu adalah implikasi langkah kerajaan dalam membendung pandemik Covid-19.

Katanya berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2020 DOSM, Johor mencatatkan penyusutan tertinggi sebanyak 13 peratus, diikuti Terengganu (-12.4 peratus), Kuala Lumpur (-12.3 peratus), Labuan (-11.5 peratus), Sarawak (-11 peratus) dan Selangor (-10.6 peratus).

“Walau bagaimanapun, dari perspektif nilai, purata gaji dan upah bulanan di Putrajaya merupakan yang tertinggi dengan RM4,497.

“Antara negeri yang melepasi paras purata gaji dan upah nasional iaitu RM2,933 adalah Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942),” kata Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata implikasi itu turut memberi kesan kepada purata gaji dan upah bulanan bagi siswazah bekerja, yang menyaksikan penurunan 10.6 peratus.

“Lima negeri merekodkan kejatuhan lebih ketara bagi konteks gaji dan upah bulanan siswazah iaitu Sabah (-19.1 peratus), Kuala Lumpur (-14.4 peratus), Sarawak (-13.1 peratus), Terengganu (-11.8 peratus) dan Selangor (-11.2 peratus).

“Walaupun Kuala Lumpur catat penurunan, tetapi masih menjadi negeri yang memberikan purata gaji dan upah siswazah bulanan tertinggi pada RM5,443 diikuti Putrajaya (RM5,365), Selangor (RM4,772) dan Negeri Sembilan (RM4,496).

“Manakala, purata lebih rendah direkodkan di Sabah (RM3,900) dan Kedah (RM3,729),” katanya.

 


Pengarang :