Petugas kesihatan menunjukkan vaksin yang telah disukat sebelum disuntik kepada penerima dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Dusun Tua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Evo Mall Bandar Baru Bangi, Kajang pada 16 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Putrajaya bekal lebih tujuh juta dos vaksin kepada Selangor

SHAH ALAM, 24 OGOS: Selangor menerima lebih 7.4 juta dos vaksin daripada Kerajaan Persekutuan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan Februari lalu, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata lebih separuh jumlah bekalan iaitu 3.87 juta dos melibatkan pelalian Sinovac diikuti Pfizer (3.35 juta) serta AstraZeneca (259,800).

Jelasnya, penerima mendapat vaksin berkenaan mengikut kumpulan sasar dan tarikh janji temu diberi menerusi aplikasi MySejahtera.

“Fasa satu pada Februari hingga Mac untuk petugas hadapan. Fasa dua sepanjang April hingga Ogos untuk kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, golongan rentan berpenyakit kronik dan golongan kelainan upaya (OKU).

“Bagi fasa tiga pada Mei hingga Disember depan dengan menyasarkan golongan dewasa atas 18 tahun,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Hulu Kelang Saari Sungib di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Selangor tidak boleh memaksa orang awam mengambil vaksin meskipun kadar jangkitan virus dalam kalangan penduduk tinggi.

“Tak ada undang-undang paksa ambil vaksin. Selagi tak dikuatkuasakan kita hanya boleh laksana kempen untuk tingkatkan kesedaran rakyat,” katanya.


Pengarang :