Gimnasium dibuka semula kepada orang ramai selepas dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ratusan pemilik gimnasium gulung tikar jika sekatan berterusan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Ratusan pengendali gimnasium bakal gulung tikar jika sektor berkenaan masih tidak dibenarkan beroperasi dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia berkata kaji selidik dua bulan lalu menunjukkan pendapatan 58 peratus daripada 340 pemilik premis senaman itu merosot teruk.

Krishna Kumar menjelaskan sebanyak 85 peratus pengusaha juga tidak mempunyai modal pusingan dan dijangka hanya mampu bertahan sekitar dua bulan lagi.

“Jika situasi ini berterusan, dianggar seramai 140 pengusaha gimnasium bakal gulung tikar,” katanya dalam program bual bicara secara langsung di Facebook Media Selangor kelmarin.

Beliau menambah pemilik terpaksa melunaskan sewa premis, gaji staf dan memperbaharui lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia selain menanggung kerugian akibat makanan tambahan tamat tempoh.

Berikutan itu, Krishna berharap institusi kewangan mempertimbang kadar faedah pinjaman yang rendah bagi memastikan kelangsungan perniagaan gimnasium.

“Selain itu, pengusaha juga berharap dana tambahan dan pengecualian cukai diberikan antara tiga hingga lima tahun kerana kita terbeban dengan pandemik,” katanya.

Pada 6 Mei, Majlis Keselamatan Negara memutuskan untuk menggantung sementara sektor dan aktiviti sukan dan rekreasi di semua premis atau kemudahan awam dan komersial serta kawasan terbuka.


Pengarang :