Rumah Prihatin di Hotel Grand Seasons yang menyokong Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tanpa janji temu menjadi tumpuan warga asing yang mula beratur sejak 7 pagi untuk mendapatkan vaksin ketika tinjauan pada 11 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Salah faham punca warga asing serbu Rumah Prihatin @ Grand Seasons

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Kesesakan orang ramai di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini berpunca daripada salah faham dan berita kononnya premis itu menyediakan perkhidmatan vaksinasi tanpa janji temu untuk bukan warganegara.

Pengambilan vaksin secara tanpa janji temu untuk warga asing sebenarnya adalah di pusat pemberian vaksin (PPV) Bukit Jalil dan bukan di Rumah Prihatin @ Grand Seasons.

Menurut kenyataan Pengurusan Rumah Prihatin @ Grand Seasons, pihaknya hanya menerima vaksinasi tanpa janji temu untuk warganegara Malaysia, dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kurang upaya, kelompok terpinggir dan golongan rentan.

“Pada peringkat awal, kami mengambil tindakan bersama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyuraikan keadaan, namun warga asing ini tetap tidak mahu bersurai walaupun telah diberikan arahan dan amaran. Bagaimanapun, keadaan kembali diperbetulkan dengan bantuan polis dan DBKL.

“Program vaksinasi ini diuruskan oleh Rumah Prihatin di bawah Program Vaksinasi MyMedik@Wilayah dan tidak melibatkan pihak lain. Kami kesal dengan apa yang terjadi dan akan meningkatkan lagi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dengan bantuan pihak berkuasa, bagi memastikan kejadian ini tidak berulang,” menurut kenyataan itu.

Semalam, satu video berdurasi tujuh minit 15 saat, yang menunjukkan suasana kesesakan dengan tiada penjarakan fizikal di luar perkarangan premis tersebut, tular di laman sosial sekali gus mengundang kegusaran dalam kalangan warga maya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, polis mengambil tindakan segera mengawal keadaan di PPV itu selepas tular video mengenai kesesakan dan pelanggaran SOP di kawasan itu.

“Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan di pusat berkenaan, sehingga program vaksinasi selesai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran tatacara operasi piawai (SOP), supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

-BERNAMA


Pengarang :