Pengurus Sitham Selangor, Thiban Subbramaniam bercakap kepada media pada Majlis penyerahan geran peralatan Sitham Yayasan Hijrah Selangor di Taman Melur, Ampang pada 14 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sambutan galak, permohonan Sitham dilanjut hingga 19 Ogos

AMPANG, 15 OGOS: Permohonan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) dilanjutkan sehingga 19 Ogos ini, menurut pengurusnya.

Thiban Subbramaniam berkata permohonan yang sepatutnya ditutup Khamis lalu itu dilanjutkan berikutan maklum balas positif dalam kalangan usahawan.

“Sasaran awal permohonan fasa pertama sekitar 300 orang tetapi sejak dilancarkan baru-baru ini, ramai yang berminat dengan program tersebut dan perlukan pinjaman untuk berniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail (tengah), menampal pelekat Program Pembagunan Usahawan India Selangor (Sitham) selepas menyerahkan motosikal kepada usahawan pada Majlis penyerahan geran peralatan Sitham Yayasan Hijrah Selangor di Taman Melur, Ampang pada 14 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita merekodkan lebih 500 permohonan sehingga 12 Ogos lalu, iaitu tarikh asal permohonan ditutup. Atas faktor itu, kita bersetuju untuk melanjutkan tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui pada program serahan geran peralatan perniagaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) kepada dua penerima Sitham di sini semalam.

Thiban menjelaskan proses semakan akan dibuat sebaik tarikh permohonan ditutup dan pemohon yang layak akan dihubungi melalui telefon.

“Pemimpin tempatan dan pegawai pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga terlibat dalam proses verifikasi. Pihak berkaitan akan turun padang untuk mengenal pasti sama ada pemohon benar-benar berniaga atau sebaliknya,” katanya.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan (Grow) dan program bantuan peralatan perniagaan (Geran).

 


Pengarang :