Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan memeriksa lesen penunggang motosikal ketika operasi bersepadu di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada 20 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sambutan hari kemerdekaan: JPJ tawar diskaun saman 70 peratus

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman sehingga 70 peratus kepada semua saman JPJ yang boleh dikompaun bermula esok hingga 16 September depan.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan, saman yang tidak boleh dikompaun adalah kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

Menurut kenyataan itu, tawaran pengurangan pembayaran saman itu dilaksanakan bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan ke-64 yang bertemakan “Malaysia Prihatin” bagi tahun 2021.

“Pengurangan kompaun itu, akan diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya termasuklah kes yang masih dalam tindakan Senarai Hitam.

“Pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ,” demikian menurut kenyataan itu.

Tawaran ini turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa, dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 Sept ini.

Urusan pembayaran notis saman ini boleh dibuat di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, kiosk atau secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).

“Walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki untuk hadir semula ke pejabat JPJ (cawangan atau negeri), bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.

“Tawaran pengurangan notis saman ini dibuat semata-mata bagi tujuan meringankan beban rakyat, selaras dengan kemelut ekonomi yang melanda segenap lapisan masyarakat di negara ekoran daripada pandemik Covid-19,” menurut kenyataan berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :