Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) dan Mohd Khairuddin Othman (tiga, kiri) bergambar bersama peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 21 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sambutan terus galak, 8,000 minat sertai RiDE setakat Ogos

GOMBAK, 21 OGOS: Lebih 8,000 permohonan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) direkodkan sejak pendaftaran dibuka awal tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses semakan dibuat segera bagi mencari peserta yang layak dengan mematuhi beberapa kriteria antaranya berusia 40 tahun ke bawah.

“Syarat tertentu ditetapkan antaranya pemohon perlu berusia bawah 40 tahun kerana inisiatif ini bagi membantu pemandu e-panggilan yang majoritinya generasi muda.

“Mereka akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM500 kerana ramai sudah memiliki lesen motosikal,” katanya selepas menyerahkan insiatif itu kepada 50 peserta di Dewan Rakyat Batu Caves hari ini.

Amirudin yang juga wakil rakyat Sungai Tua turut menyerahkan cek cura berjumlah RM2 juta kepada EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman sebagai simbolik pelaksanaan RiDE tahun ini.

Beliau menjelaskan program tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa berikutan industri e-dagang semakin berkembang selain mendapat permintaan menggalakkan dalam kalangan belia.

“Sebab itu pada peringkat permulaan program ini kita bantu dari segi lesen tetapi rupanya (lesen) sudah selesai di peringkat awal, jadi kita beri bantuan kewangan kerana ekonomi belum baik akibat Covid-19.

“Tahun depan mungkin kita akan tengok format kerana perniagaan e-dagang semakin berkembang bukan sahaja melibatkan penghantaran makanan tetapi juga barangan. Jadi, kita perlu bincang dengan pengendali e-panggilan, mungkin ada keperluan tambahan diperlukan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk program tersebut dengan sasaran 3,000 peserta.
Permohonan dibuka dari Januari hingga akhir tahun ini melalui laman sesawang http://msnselangor.gov.my.

 


Pengarang :