Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Jabatan Penguatkuasa dan Jabatan Persekitaran MPK menyerbu lokasi yang menjadi sarang penagih dadah di Gerai MPK Sungai Aur, Pelabuhan Klang pada 23 Ogos 2021. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
ADNSELANGOR

Sarang penagih dadah di Gerai MPK diserbu, 15 ditahan

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 15 individu ditahan selepas polis menyerbu kawasan dipercayai menjadi sarang penagih dadah di Gerai Majlis Perbandaran Klang (MPK) Sungai Aur, Pelabuhan Klang hari ini.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata operasi dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bersama Jabatan Penguatkuasa dan Jabatan Persekitaran MPK jam 10 pagi tadi.

Menurut Azmizam Zaman Huri, pihak berkuasa turut menemui sampah dan sisa barang yang dikumpul penagih dadah yang menghasilkan bau busuk dan mengundang rasa kurang selesa kepada peniaga dan pengunjung gerai tersebut.

“Kesemua individu tersebut dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.

“Kami berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana mengambil tindakan pantas bagi membendung masalah najis dadah terutama di kawasan pekan Pelabuhan Klang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK segera membersihkan kawasan gerai berkenaan bagi mengelak pembiakan aedes yang boleh menimbulkan kacau ganggu terhadap peniaga dan pengunjung.


Pengarang :