Selangorkini
Seorang pelanggan membungkus makanan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di sebuah restoran di Seksyen 7 Shah Alam pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
SELANGOR

Segelintir individu lengkap vaksin belum sedia makan di restoran

AMPANG, 22 OGOS: Segelintir individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di negeri ini belum bersedia untuk makan di restoran meskipun dibenarkan berbuat demikian.

Hassan Basri Ainik, 56, berkata dia menyambut baik kemudahan tambahan itu namun perasaan bimbang masih ada kerana jangkitan Covid-19 di Selangor meningkat sejak kebelakangan ini.

Hassan Basri Ainik, 56

“Alhamdulillah, saya rasa lega selepas terima suntikan kedua tetapi tidak boleh terlalu selesa kerana Covid-19 ada di mana-mana dan tatacara operasi piawai (SOP) perlu dipatuhi bagi mengelak menjadi mangsa.

“Mungkin beberapa kelonggaran diberikan kerajaan menggembirakan banyak pihak termasuk saya dan buat masa ini biarlah dulu, perasaan takut masih ada sebab kes belum turun,” katanya kepada Selangorkini.

Bapa tujuh anak itu antara ribuan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti yang menerima dos kedua di Dewan Serbaguna AU2, Ampang di sini hari ini.

Sementara itu, ibu tunggal, Norzila Hussin, 53, berkata dirinya belum yakin untuk makan di restoran dalam tempoh terdekat dan memilih membeli makanan secara bungkus di restoran.

“Ikutkan memang saya tak berani, lebih baik beli sahaja makanan atau masak sendiri di rumah. Mungkin kalau ingin sekalipun saya akan tunggu sebulan selepas dos kedua.

Norzila Hussin, 53

“Bagaimanapun, saya rasa senang hati dan bersyukur sebab sudah lengkap terima vaksin. Sekurang-kurangnya boleh keluar ke mana-mana dan tidak hanya terperuk di rumah,” katanya.

Kerajaan mengumumkan individu yang lengkap menerima vaksinasi lengkap bagi negeri fasa pertama Pelan Pemulihan Negara dibenarkan untuk melakukan aktiviti makan restoran bermula kelmarin.

Ia merupakan salah satu daripada kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi di negeri berkaitan.


Pengarang :