Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Jalur Gemilang kepada penerima vaksin selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 29 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sejumlah besar penduduk divaksin namun negara belum `merdeka’ wabak

SHAH ALAM, 31 OGOS: Penularan Covid-19 mendesak kita semua mengadaptasi sepenuhnya cara dan gerak kehidupan selain menerima hakikat harus hidup dalam ancaman wabak, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negara tidak boleh melaungkan kata-kata `merdeka!’ wabak selagi terdapat jangkitan yang masih menular di negara ini serta negara lain.

Namun katanya, perbezaan sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 dengan tahun lepas adalah sejumlah besar penduduk negara ini telah menerima vaksin.

“Ulang tahun kemerdekaan kali ini seakan-akan `dejavu’ tahun lalu, apabila kita mengharungi dan menghadapi cabaran virus yang meragut lebih 14,000 nyawa dan menjangkiti sekurang-kurangnya 1,593,602 individu.

“Perbezaannya kali ini, sejumlah besar penduduk negara telah menerima vaksin termasuk sekurang-kurangnya 3,312,825 ataupun 69.75 peratus daripada populasi dewasa yang mendaftar untuk menerima vaksin,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kemerdekaan ke-64.

Beliau berkata rakyat menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dalam suasana krisis kesihatan dan politik berpanjangan yang belum pernah dialami sebelum ini.

“Pengalaman lampau ketika melalui liku-liku cabaran penjajahan hinggalah proses pengisian kemerdekaan seharusnya mengajar kita untuk terus cekal dan berfikiran positif.

“Selepas berlakunya sejarah hitam 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak pada waktu itu mempengerusikan Majlis Perundingan Negara mengetengahkan idea dan prinsip Rukun Negara sebagai usaha mengemudi negara ke arah identiti kebangsaan,” katanya.


Pengarang :