Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove Meru, Klang pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sektor kilang penyumbang terbesar kluster walau kes pekerja hanya 20 peratus

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sektor perkilangan penyumbang terbesar bilangan kluster jangkitan Covid-19 di Selangor sepanjang Julai, namun golongan pekerja hanya 20 peratus daripada jumlah kes positif yang disaring.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata penyumbang kedua terbesar bilangan kluster adalah sektor perkhidmatan, diikuti tapak bina, perniagaan dan komuniti, manakala kluster lain menunjukkan bilangan yang amat sedikit.

Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman juga menjelaskan saringan kontak rapat menyumbang jumlah kes terbesar iaitu hampir 40 peratus, diikuti kes bergejala 22 peratus, pekerja (20 peratus), bukan pekerja (14 peratus) dan lain-lain (lebih 1 peratus).

“Kalau kita lihat pada jumlah kes tersebut, seperti yang ketua setiausaha kementerian (Datuk Mohd Shafiq Abdullah) sebut tentang gejala umum dan tidak bergejala, sama juga dalam Selangor di mana hampir 65 peratus kes yang dikesan adalah kes tanpa gejala.

“Terdapat 30 hingga 35 peratus kes bergejala di mana majoriti kes pada tahap kategori tiga, manakala kategori empat dan lima amat sedikit, lebih kurang dalam 1.8 peratus yang dikesan dalam Selangor,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

 

Sementara itu, berdasarkan laporan ringkas kementerian kepada media, sebanyak 96 kluster sektor perkilangan (atau 54 peratus) dikesan di negeri ini antara 1 hingga 31 Julai.

Perkhidmatan pula penyumbang kedua terbesar dengan 22 kluster (atau 12 peratus), diikuti 18 kluster tapak bina (10 peratus), 13 kluster perniagaan (7 peratus) dan sembilan kluster komuniti (5 peratus).

“Terdapat sembilan kluster komuniti yang dilaporkan, namun kesemuanya adalah kluster yang berlaku sebelum perayaan Hari Raya Aidiladha,” laporan itu dipetik.


Pengarang :