Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Serdang di Aurora Place Bukit Jalil pada 9 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor laksana program vaksin bergerak bermula September

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Selangor dijadual memulakan program vaksin bergerak ke kawasan tertentu bermula September ini.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif tersebut untuk memastikan lebih ramai rakyat negeri ini menerima suntikan pelalian.

“Misalnya jumlah individu belum divaksin kurang 200 individu di sesuatu lokasi, kita akan aturkan klinik bergerak yang boleh selesaikan pemberian vaksin dalam sehari.

“Kita perlukan maklum balas jumlah individu belum divaksin dari komuniti serta wakil rakyat supaya program menjadi efektif. Dalam masa sama Klinik Selcare masih terima individu yang datang untuk ambil vaksin,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Pelek Ronnie Liu Tian Khiew dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu Dr Siti Mariah berkata pihaknya akan meminta Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mengekalkan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini bagi memudahkan orang ramai mendapat suntikan.

“Kita ada 468 PPV kecil di Selangor selain 13 PPV mega tetapi kita akan lihat ppv yang mana perlu diteruskan, jadi orang ramai boleh datang bila-bila masa.

“Namun begitu kita ada langkah jangka panjang terutama untuk suntikan tanpa janji temu yang boleh diambil di klinik swasta,” katanya.


Pengarang :