Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 8 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor Mental Sihat dilancar, atasi isu kesihatan mental

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Negeri melancarkan fungsi Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Dato’ Menteri Besar berkata program diintegrasi melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

“Selepas mendapat keputusan saringan, pengguna diberi akses percuma kepada pelbagai intervensi awal disediakan melalui SEHAT iaitu inisiatif kesihatan mental lebih holistik bertujuan meningkatkan kesedaran dan literasi mengenai kepentingan penjagaan serta mengurangkan stigma terhadap isu berkenaan.

“Program ini menyediakan platform untuk rakyat Selangor melakukan saringan awal dan menyediakan intervensi awal secara dalam talian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika melancarkan fungsi terbabit malam ini.

Amirudin memaklumkan pengguna berpeluang menonton 30 video pendidikan kesihatan mental dilengkapi jurubahasa isyarat bagi memenuhi keperluan orang kelainan upaya (OKU).

Beliau berkata sokongan sosial turut disediakan melalui forum SEHAT bagi memudahkan pengguna bertanya pandangan pengendali selain berbincang bersama rakan maya lain yang berdepan situasi sama.

Menurutnya, talian sokongan psikososial SEHAT juga disediakan supaya orang ramai boleh mendapatkan nasihat dan khidmat kaunseling secara percuma daripada 31 kaunselor bertauliah.

Pada 15 Ogos lalu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Selangor memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan program SEHAT merangkumi program kesedaran dan promosi, pembangunan modul, latihan kaunselor dan pemberdayaan komuniti.

Inisiatif tersebut dibangunkan dengan kerjasama kumpulan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa).


Pengarang :