Hee Loy Sian (tiga dari kanan) menyerahkan keperluan asas kepada wakil keluarga Orang Asli sempena program Pelancaran Penyerahan Bakul Makanan Kepada Ketua Isi Rumah Orang Asli Negeri Selangor di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil, Sepang pada 14 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor peruntuk hampir RM1 juta sedia bakul makanan kepada Orang Asli

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM947,350 bagi menyediakan bantuan bakul makanan kepada Orang Asli sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata menerusi Pakej Selangor Prihatin tahun lalu, seramai 5,941 ketua isi rumah (KIR) diberi bantuan asas antaranya beras dan minyak bernilai RM50 setiap satu dengan perbelanjaan RM297,050.

“Di bawah Pakej Kita Selangor tahun ini kita buat penambahbaikan dengan meningkatkan jumlah bantuan kepada RM100, seramai 6,503 KIR mendapat manfaat dengan peruntukan RM650,300,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan mulut wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong Keat Ping dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Loy Sian berkata bakul makanan kepada kepada Orang Asli di 74 kampung di negeri ini turut disalur Jabatan Kemajuan Orang Asli yang sudah melaksanakan lima pusingan bantuan sejak tahun lalu.

“Inisiatif kepada Orang Asli Kita turut dibantu pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.


Pengarang :