Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Mohd Kharuddin Othman menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI
AGENDASUKANKINI

Selangor peruntuk RM14.5 juta laksana program sukan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM14.5 juta untuk menjalankan pelbagai aktiviti di bawah Program Generasi Muda dan Sukan pada tahun lalu.

EXCO Mohd Khairuddin Othman berkata pecahan peruntukan melibatkan pembangunan generasi muda (RM5.26 juta), pembangunan sukan (RM7 juta) serta membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur sukan (RM2.24 juta).

“Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor komited melaksanakan program pembangunan sukan untuk melahirkan atlet pelapis yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara.

“Antara usaha dilakukan adalah memperkenakan Program Bakat, Program Pelapis dan Program Elit. Ketiga-tiga peringkat program ini merangkumi peruntukan berjumlah RM4.11 juta,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berhubung peruntukan diluluskan bagi aktiviti sukan pada 2020 dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata Selangor turut menggorak langkah dengan memanfaat media sosial dengan menganjurkan program e-sukan yang bersesuaian dengan trend baharu.

“Antara program yang dianjurkan pada 2020 adalah E-Sports Fifa Piala Budak Kampung, Selangor Xtiv Virtual E-Sport dan Selangor Xtiv Virtual Run.

“Aktiviti lain adalah Gelanggang Selangor Martial Arts Virtual, Pro Club Super League, Selangor Xtiv Video Challenge dan Selangor FIFA Pro Club League 2020,” katanya.


Pengarang :