Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mencuba mengendali jentera potong padi ketika lawatan ke sawah padi di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam pada 11 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor peruntuk RM2.79 juta bantu pesawah tingkat hasil

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.79 juta bagi membantu pesawah negeri ini meningkatkan hasil tanaman mereka, kata Dato’ Menteri Besar.

Bantuan termasuk perbelanjaan untuk meningkatkan hasil padi, membekalkan bahan kawalan serangga perosak, benih, pengurusan perosak dan pengeluaran padi.

“Seramai 10,868 pesawah di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam akan menerima manfaat tersebut,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media secara maya hari ini.

Selain itu Amirudin berkata Kerajaan Selangor juga menggalakkan pesawah menggunakan padi yang seragam dan menuai tepat pada masanya sebagai inisiatif menangani masalah pengurangan hasil.

Inisiatif itu katanya dilaksanakan melalui Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Barat Laut Selangor.

“Bagi perancangan jangka panjang kita mencadangkan ubah suai jadual tanaman di kawasan IADA untuk mengoptimumkan penggunaan air tanpa pembaziran serta dapat menyeragamkan pengurusan jentera, benih dan racun dengan lebih efisien,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Kerajaan Negeri meluluskan dana berjumlah RM1.035 juta untuk membasmi serangga perosak padi di kawasan terlibat di daerah berkenaan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata peruntukan itu akan digunakan segera untuk semburan racun yang disyor pakar kawalan penyakit ulat pengorek batang dan ulat gulung daun.


Pengarang :