Selangorkini
Persidangan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pinda peraturan untuk sidang dewan negeri secara hibrid

SHAH ALAM, 30 OGOS: Selangor menjadi negeri pertama yang membuat pindaan peraturan tetap untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) secara hibrid pada masa akan datang.

Speaker Ng Suee Lim berkata pindaan ke atas Peraturan Tetap 21 dan 69(4) membolehkan persidangan secara maya dijalankan sekiranya berlaku situasi luar jangka yang mendatangkan kemudaratan seperti pandemik Covid-19.

“Ia telah diluluskan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk diserah kepada jawatankuasa peraturan tetap bagi membincangkan pengisian yang rapi.

“Selepas ini jawatankuasa tetap dipengerusikan saya bersama enam lagi ahli termasuk pembangkang akan bersidang dan bermesyuarat bagi membincangkan pengisian lebih jelas supaya dibentangkan pada persidangan akan datang untuk diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sidang DNS di Bangunan Annex di sini hari ini.

Suee Lim menegaskan persidangan secara hibrid itu adalah pilihan terakhir sekiranya situasi benar-benar di luar jangka.

“Kita harap pandemik Covid-19 ini dapat dikurangkan kerana kalau boleh kita tidak mahu mengadakan persidangan seperti itu,” katanya.


Pengarang :