EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas meninjau program Vaksinasi Atlet dan Pengusaha Industri Sukan Selangor di Hotel De Palma Shah Alam pada 10 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor rancang guna padang Stadium Shah Alam akhir tahun ini

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri sedaya upaya berusaha memastikan padang bola sepak Stadium Shah Alam dapat digunakan semula akhir tahun ini, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata, rancangan jangka pendek itu akan dibentangkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita yakin dapat realisasikan wajah baharu, cuma sementara menunggu pembangunan holistik yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan kita mempunyai angan-angan untuk memastikan padang tersebut digunakan semula akhir tahun ini.

“Saya akan berbincang dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung perancangan ini memandangkan Stadium Shah Alam sangat besar dan unik malah semua pemain legenda bola sepak pernah bermain di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Ikhtiar Selangor Bantu Belia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Pada 21 Ogos lalu, Amirudin berkata stadium yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf yang dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.

Menurutnya, proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Stadium yang dibuka pada 1994 itu mampu menampung 80,000 penonton namun tidak dapat digunakan buat masa ini akibat kerosakan struktur bumbung.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Oktober tahun lalu, Amirudin turut mencadangkan projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion di sekitar stadium itu.

Beliau berkata kerjasama strategik dengan swasta itu dilaksana secara perkongsian berkonsepkan perkotaan hijau berpaksi kelestarian alam dan bandar pintar.


Pengarang :