Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Serdang di Aurora Place Bukit Jalil pada 9 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor sedia beli lebih banyak vaksin jika ada keperluan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Selangor sedia membeli lebih banyak bekalan vaksin jika ada keperluan pada masa hadapan bagi memastikan kesihatan rakyat terkawal.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak memperincikan lebih lanjut anggaran jumlah dos yang bakal dibeli negeri.

“Kalau ada keperluan dan kepentingan kita akan tambah pembelian vaksin jika kerajaan dan jabatan tertentu luluskan suntikan ketiga untuk keselamatan rakyat,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Panjang Datuk Imran Tamrin pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan program Vaksin Selangor (Selvax) bagi melengkapkan dan
mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Usaha Kerajaan Negeri itu melibatkan kos bernilai RM200 juta diiktiraf kerajaan persekutuan, malah terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 dos stok vaksin yang dibeli melalui Selvax kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini dengan vaksin perlu dipulangkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

 


Pengarang :