EXCO Kerajaan Negeri Ir Izham Hashim menjawab pertanyaan media selesai majlis penyerahan sumbangan kepada kebun komuniti di Seksyen 35, Shah Alam pada 13 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor sedia data internet percuma kepada 2,000 petani

SHAH ALAM, 11 OGOS: Golongan petani negeri ini diminta mengambil peluang mendapatkan data internet percuma selama 12 bulan menerusi Data Internet Selangor (DIS).

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata data internet itu disediakan kepada 2,000 petani yang layak dan akan dibiayai sepenuhnya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Peluang ini terbuka kepada semua petani, penternak, nelayan serta pengusaha industri makanan yang bermastautin di Selangor dan mempunyai pendapatan seisi rumah tidak lebih RM2,000 sebulan,” katanya menerusi Facebook.

Ir Izham berkata mereka yang berminat boleh mengisi butiran diri menerusi pautan Tinyurl.com/DISWargaTani dan tarikh tutup permohonan adalah sebelum 31 Ogos ini.

Maklumat lanjut orang ramai boleh layari laman sesawang berikut https://dis.borangmbiselangor.com/.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) yang dilengkapi data internet secara percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel).

Beliau menjelaskan manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :