Selangorkini
Petugas kesihatan membuat persiapan mencucuk bebuli vaksin sebelum memberi suntikan secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim di Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor serah pinjaman vaksin kepada Pulau Pinang esok

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Selangor akan menyerahkan 200,000 vaksin yang dipinjamkan kepada Pulau Pinang esok bagi membantu negeri itu memberi suntikan pelalian kepada penduduk lebih cepat.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya turut menyumbang tambahan 20,000 pelalian daripada program Vaksin Selangor (Selvax) secara percuma.

“Esok saya ke Pulau Pinang untuk serahkan 200,000 dos secara pinjaman dan 20,000 yang kita sumbangkan kepada rakan kita.

Kita tidak mahu Pulau Pinang terima nasib macam kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sesi penggulungan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Menurutnya, selain Pulau Pinang terdapat negeri lain yang menyuarakan hasrat meminjam vaksin Selangor bagi mempercepatkan imunisasi penduduk.

“Ada satu negeri berhampiran dengan kita nak juga buat pinjaman tapi saya minta perkara itu dibawa ke pusat sebab ia satu jaringan dan harus mendapat pelepasan seperti mana kita buat untuk Pulau Pinang,” katanya.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan antara negeri bakal menerima bekalan tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.


Pengarang :