EXCO Kerajaan Negeri Mohd Khairuddin Othman melakukan gimik perasmian sempena majlis pelancaran Selangor Xtiv Virtual di Foyer Suk, Shah Alam pada 23 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor Xtiv Virtual rancak aktiviti e-sukan ketika pandemik

SHAH ALAM, 27 OGOS: Selangor Xtiv Virtual yang diperkenal sejak tahun lalu membuktikan Kerajaan Negeri serius merancakkan aktiviti e-sukan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata program berbentuk kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan berjaya menarik lebih 250,000 penyertaan daripada pelbagai latar belakang tanpa menumpukan pemain elit atau profesional semata-mata.

“Pokok pangkalnya apabila berlakunya Covid-19, Kerajaan Negeri memang tidak boleh duduk diam. Jika rakyat dan kerajaan masing-masing takut, tiada apa yang akan berubah.

“Sebab itu kita berani ambil risiko dan segera mengarahkan pegawai melakukan sesuatu kerana sedar bahawa kita mesti ke hadapan, jika tidak secara fizikal kita buat dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Ikhtiar Selangor Bantu Belia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Untuk edisi tahun ini, Selangor Xtiv Virtual menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM411,680.

Acara dipertandingkan seperti Xtiv Virtual e-Sport meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021 dan FIFA Pro Club selain Selangor Xtiv Virtual Marathon, Selangor Xtiv Virtual Chess serta Selangor Xtiv Virtual Martial Art.

Tahun lalu, program terbabit mendapat sambutan luar jangka dengan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Mengulas kebenaran beberapa sektor sukan rekreasi di negeri ini, wakil rakyat Paya Jaras mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelak jangkitan wabak.

“Apapun aktiviti sukan dilakukan, keselamatan perlu jadi keutamaan kerana kita tidak mahu timbul isu Covid-19. Semua takut dengan wabak sebab ia bukan perkara main-main apatah lagi apabila melibatkan kematian,” katanya.


Pengarang :