Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Selcare dicadang bantu KKM pantau individu kuarantin di rumah

SHAH ALAM , 25 OGOS: Kerajaan Selangor dicadang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau tahap kesihatan individu positif Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Wakil rakyat Sementa berkata saranan itu susulan beberapa kes sebelum ini yang tidak mendapat panduan sewajarnya sehingga menyebabkan gejala semakin teruk dan mengundang risiko.

“Klinik Selcare boleh berperanan memberi nasihat selain menyediakan ubat-ubatan yang diperlukan berdasarkan pemantauan secara dalam talian,” kata Dr Daroyah Alwi.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Daroyah berkata Kerajaan Selangor juga boleh melaksanakan khidmat kaunseling kepada penduduk negeri ini yang kehilangan ahli keluarga atau orang tersayang akibat Covid-19.

“Pimpinan kawasan perlu memainkan peranan masing-masing bagi bersama-sama membantu pihak yang memerlukan dalam keadaan mencabar ini.

“Kebajikan mereka perlu diberi perhatian oleh semua pihak sama ada wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung, ahli jawatankuasa masjid dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :