Penghantar barangan Seldec menunjukkan isyarat bagus ketika menunggu giliran mendapatkan inisiatif RiDE oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selesa waktu kerja anjal, ‘rider’ raih lebih RM3,000 sebulan

GOMBAK, 22 OGOS: Tindakan seorang pemuda menukar kerjaya dari pelayan restoran kepada penghantar makanan sepenuh masa tidak sia-sia apabila mampu meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Anwar Faidhi, 28, yang menyertai syarikat e-panggilan Grab Food sejak tahun lalu lega pulangan diperoleh setimpal dengan penat lelah berbanding pekerjaan sebelum ini.

Dia yang menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur berkata kos sara hidup yang kian meningkat memaksanya untuk menukar kerjaya demi kelangsungan hidup terutama ketika pandemik Covid-19.

“Sejujurnya, pendapatan diperoleh sekarang lebih baik berbanding sebelum ini tetapi itu bergantung tahap kerajinan. Biasanya saya buat setiap hari dari pagi hingga malam dan cuti dua kali seminggu.

“Walaupun penat ambil makanan dari kedai dan hantar ke rumah pelanggan tetapi saya seronok sebab waktu anjal dan boleh tentukan tentukan jadual sendiri, jadi bila-bila masa sahaja boleh ‘kayuh’ (tunggang motosikal),” katanya kepada Selangorkini.

Anak ketiga dari tujuh beradik itu mengakui pelbagai rintangan ditempuh sepanjang berkhidmat dalam e-panggilan namun nekad untuk terus memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Berkongsi pengalamannya, Anwar berkata dia pernah menunggu di luar rumah pelanggan ketika hujan lebat kerana individu tersebut tidak dapat dihubungi.

“Saya juga harus puji pelanggan yang menyediakan ruang khas di luar rumah untuk letak pesanan mereka kerana mungkin kebanyakannya faham dengan keadaan Covid-19 ketika ini. Setakat ini tiada isu dimarahi pelanggan disebabkan lambat hantar pesanan,” katanya.

Anwar antara 50 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menerima bantuan RM500 yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat Batu Caves di sini semalam.

Beliau berkata inisiatif tersebut tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap penunggang e-panggilan yang dianggap sebagai petugas barisan hadapan.

“Saya berterima kasih kerana memahami keadaan penghantar makanan. Sekurang-kurangnya penat lelah kami dapat perhatian dan rasa dihargai,” katanya lagi.


Pengarang :