ADN Ijok Dr Idris Ahmad meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Ijok di Dewan Besar Yuk Chih Bistari Jaya, Kuala Selangor pada 7 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Selvax Komuniti DUN Ijok ikut giliran kampung

BESTARI JAYA, 7 OGOS: Program Selangor Vaksin (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok hari ini berjalan mengikut giliran kampung.

Wakil rakyat Dr Idris Ahmad berkata proses berperingkat dari 9 pagi hingga 1 tengah hari melibatkan lapan kampung tradisi dan dua kampung bagan.

Jelasnya, langkah terbabit lebih mudah dan sistematik kerana dapat memastikan semua penduduk hadir menerima imunisasi.

“Borang diagih sepanjang minggu ini. Ketua kampung dan penghulu akan beri kelulusan kepada yang layak dan mereka hanya perlu bawa borang berkenaan.

“Bagi vaksinasi secara terus, proses berjalan dari 1 tengah hari hingga 5 petang. Kita harap kuota 2,600 dipenuhi,” katanya ketika ditemui di Dewan Besar Yuk Chih di sini.

Dr Idris berkata program dijadualkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MDKS, Bandar Baru Kuala Selangor namun beliau minta ditukarkan ke dewan terbabit.

“Lokasi ini berhampiran kediaman penduduk dan memudahkan mereka. Kenderaan juga disediakan untuk individu tiada kenderaan,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :