Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sentosa di pusat pemberian vaksin (PPV) De Palma Hotel, Shah Alam pada 4 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selvax: Penduduk Pelabuhan Klang terima dos pertama Khamis ini

SHAH ALAM, 10 OGOS: Individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing sekitar Pelabuhan Klang yang mendaftar menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti akan menerima dos pertama vaksin pada Khamis ini.

Ahli Dewan Negeri Azmizam Zaman Huri berkata program suntikan pelalian berlangsung di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

“Pendaftaran yang dibuka sejak minggu lepas sehingga hari ini menumpukan rakyat tempatan dan warga asing bekerja sebagai pembantu rumah atau terlibat dalam sektor pembinaan.

“Walaupun kehadiran tanpa janji temu dibenarkan, namun kesemua mereka didaftarkan bagi memudahkan kawalan pihak Selcare sekali gus melancarkan proses pemberian vaksin,” katanya.

Azmizam turut mengingatkan masyarakat supaya terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat meskipun lengkap dua dos vaksin berikutan peningkatan kes Covid-19 dan kematian sejak kebelakangan ini.

“Hampir setiap hari kita terima khabar kematian menyedihkan sehinggakan ada yang meninggal dunia di rumah akibat sesak nafas tanpa sempat dirawat di hospital.

“Jadi, jangan ambil mudah soal SOP memandangkan varian baharu Delta merebak dengan pantas. Kita kena sama-sama berikhtiar supaya tidak dijangkiti wabak berbahaya ini,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :