Pengerusi Mais Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bersama ketua jabatan dan anak syarikat mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 25 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Semarak Hari Kebangsaan, Mais edar 156 Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengedarkan 156 Jalur Gemilang kepada jabatan dan anak syarikatnya bagi menyemarak semangat patriotik menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Pengerusinya berkata sebanyak 11 bendera dan 145 bendera pelekat kenderaan diedarkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) serta Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor.

Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jalur Gemilang turut diagih kepada Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd dan Suci Holdings Sdn Bhd.

“Edaran ini dibuat supaya warga Mais dapat bersama meraikan sambutan Hari Kebangsaan walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 dan mudah-mudahan kita semua mengenang perjuangan pemimpin dahulu untuk mencapai kemerdekaan.

“Diharap dalam keadaan mencabar ini, warga Mais dapat mengisi kemerdekaan sebaiknya bagi membuktikan rasa cinta dan bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan simbolik penyerahan Jalur Gemilang dan melekatkan bendera pelekat kenderaan secara pandu lalu di lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Ketua Hakim Syarie Jakess Dato’ Mohammad Adib Husain.


Pengarang :