Sebahagian guru kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Semua guru Jais divaksin sebelum sekolah dibuka mulai September

SHAH ALAM, 5 OGOS: Semua guru lantikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan divaksin sebelum sesi persekolahan secara bersemuka mulai September.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu akan diselaraskan melalui inisiatif vaksin negeri dan kerajaan pusat.

“Kita akan selaras dengan agensi yang mengurus vaksin negeri untuk melihat keutamaan vaksinasi kepada guru Jais setara vaksinasi pekerja kilang bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta.

“Proses ini diharap dapat dilaksanakan segera mungkin sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula sekitar September memandangkan guru adalah barisan hadapan dalam bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis sambutan Hari Guru Jais 2021 bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Jais hari ini.

Pada 17 Julai, Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan sesi persekolahan secara bersemuka dibuat secara berperingkat mulai 1 September, mengambil kira kadar vaksinasi semasa.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menimbang untuk menyediakan bantuan tambahan kepada hampir 10,000 guru Jais termasuk memberi kenaikan pangkat mengikut tempoh ditetapkan (time-based).

“Kita memahami beban guru melaksanakan pengajaran agama malah mengambil maklum mereka terpaksa berbelanja lebih daripada kebiasaan untuk keperluan akses internet bagi pembelajaran dan pengajian di rumah,” katanya.


Pengarang :