Selangorkini
Guru bertugas menyukat suhu badan murid Tabika Kemas Kampung Bukit Kuda, Labuan sebelum masuk ke kelas ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Semua guru terima vaksin sebelum sekolah dibuka bulan depan

KOTA TINGGI, 1 OGOS: Seramai 85,000 guru di seluruh negara yang masih belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dijangka menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin itu sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ketika ini senarai penuh nama guru telah diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam memastikan semua warga pendidikan divaksinasi sebelum sekolah dibuka.

Dr Adham berkata selain guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas dan van sekolah, serta pengawal keselamatan sekolah, juga akan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha mencapai imuniti di kawasan sekolah.

“…dan saya sendiri telah meneliti dan membuat permintaan kepada CITF untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan ini sebelum September,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di Dewan Serbaguna Semanggar, di sini hari ini.

Setakat ini, 326,998 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala seramai 215,999 orang guru telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Mengenai pemberian vaksin kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, beliau berkata kementeriannya sedang meneliti data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum membuat keputusan untuk menjalankan vaksinasi terhadap kumpulan itu.

Sementara itu, 1,500 vaksin telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli dari Kampung Kempas Menang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Sayung Pinang di daerah Kota Tinggi menerusi program outreach tersebut, yang bermula Jumaat lepas.

Seorang penerima, Norliah Salleh, 57, menyifatkan usaha yang dilaksanakan kerajaan bersama IJN itu amat memudahkan proses pemberian vaksin kepada masyarakat yang berada di pedalaman.

“Saya mulanya takut, tapi dah cucuk saya rasa baik sahaja, harapnya selepas ini boleh ziarah cucu dan tadi semuanya lancar,” katanya yang berasal dari Kampung Kempas Menang.

Senada dengan Norliah, Amirul Rahim, 25, berkata meskipun masih belum dilindungi seratus peratus, beliau bersyukur dapat melunaskan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang prihatin untuk sama-sama berusaha mencapai imuniti kelompok.

“Kita buat untuk lindungi diri dan keluarga semua, jadi saya rasa bersyukur dan segala proses hari ini berjalan sangat lancar, tiada masalah,” katanya yang bekerja sendiri.

-BERNAMA


Pengarang :