Orang ramai hadir untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tanpa janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 7 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sertai Selvax jadi bonus, syarikat pembinaan boleh operasi sepenuhnya

BANGI, 17 OGOS: Tindakan sebuah syarikat pembinaan menyertai Program Vaksin Selangor (Selvax) membolehkan semua pekerjanya kembali bertugas dalam masa terdekat.

Kakitangan Nadi Cergas Sdn Bhd, W Lechumanan, 43, berkata penyertaan majikannya itu dianggap langkah bijak walaupun perlu mengeluarkan sejumlah wang bagi membiayai kos vaksin pekerja.

W Lechumanan

“Ini satu bonus. Rasanya lebih 50 kakitangan menyertai Selvax, ada juga pekerja terima vaksin dari aplikasi MySejahtera. Jadi anggaran lebih 60 peratus pekerja syarikat dah vaksin membolehkan kami semua kembali bekerja.

“Bila dah kerja nanti, tak ada risau bab jangkitan lagi. Sebelum ini kami bimbang jika jadi pembawa wabak dalam keluarga,” katanya selepas mengambil suntikan kedua di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall semalam.

Bermula semalam semua sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian dibenar beroperasi seluruh negara. Bagaimanapun kapasiti operasi bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.

Fakhrian Nur

Sementara itu, pekerja pembersihan dari Indonesia Fakhrian Nur, 27, berkata suntikan imunisasi hari ini dijadikan sebagai ‘senjata’ untuk melindung diri memandangkan pekerjaannya terdedah dengan jangkitan.

“Saya kerja dalam pasar raya. Tak lama lagi mungkin semua kedai akan dibuka, jadi ramai pengunjung sekali gus risiko dijangkiti tinggi. Bila dah vaksin, sekurang-kurangnya saya boleh elak jangkitan virus ini.

Suparmi Arjetin

“Terima kasih kerana beri vaksin kepada warga asing. Proses sangat mudah, lancar malah semua petugas sangat membantu,” katanya.

Pekerja kedai makan Suparmi Arjetin, 45, berkata dia mengambil vaksin sebagai persediaan untuk menerima pelanggan makan di kedai (dine-in).

“Saya tak mahu cucuk sebab takut pada jarum tapi bila fikir nanti pelanggan dah ada, saya terus ambil vaksin. Saya tak nak terkena jangkitan Covid-19,” katanya.


Pengarang :