Selangorkini
Speaker DNS, Ng Suee Lim ketika sesi penangguhan Sidang Dewan Negeri Selangor Mesyuarat kedua Penggal ketiga yang ke – 14 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Sidang dewan negeri hibrid dilaksana tahun depan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) dijangka boleh dilaksanakan secara hibrid pada tahun depan, kata Speaker Ng Suee Lim.

Beliau berkata usul meminda peraturan tetap DNS 1965 bagi memasukkan klausa membenarkan speaker memanggil sidang secara maya akan dibentang dalam persidangan sembilan hari bermula Isnin ini.

“Usul meminda peraturan tetap DNS 1965 akan membenarkan speaker memanggil sidang secara maya sekiranya berlaku keadaan luar jangka.

“Sekiranya semua setuju, jawatankuasa tetap peraturan dewan akan merangka pelaksanaan untuk dibentang dalam persidangan Disember untuk diluluskan,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Beliau berkata Selangor menjadi negeri pertama mengemukakan usul untuk melaksanakan persidangan Dewan Negeri secara hibrid.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata usul bagi membenarkan sidang dibuat secara hibrid akan dibawa pada persidangan kali ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi menghadapi cabaran penularan pandemik pada masa depan atau perkara lain yang menyukarkan persidangan secara fizikal.

Persidangan penuh sidang dewan negeri akan berlangsung di Bangunan Annex di sini, mulai 23 Ogos hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaannya pada Isnin.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor.

Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal https://selangorkini.my.


Pengarang :