BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Singkapan merdeka, detik bersejarah lagi unik

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pelbagai peristiwa penting lagi unik berlaku sepanjang proses menjelang kemerdekaan tanah air.

Namun, sebahagian detik perjalanan sejarah itu termasuk peranan individu dan lokasi tertentu kian tenggelam dalam peredaran zaman.

Bagi menghidupkan sambutan ulang tahun ke-64 di tengah-tengah kemelut Covid-19, Nazli Ibrahim menyingkap beberapa fakta menarik.

Keris Sapukal

  • Dijulang Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ketika melaungkan kemerdekaan pada 20 Febuari 1956 di Padang Bandar Hilir atau dikenali Padang Pahlawan
  • Sapukal bermaksud keris yang lurus bilahnya berdasarkan takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Mengikut pengkaji keris Profesor Mua’ti @ Zamri Ahmad kepada Selangorkini, keris ini dihadiahkan Kaum Ibu Melaka, kini dikenali sebagai Wanita Umno
  • Penulis buku Keris Indah-Koleksi Diraja Keris Nusantara Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu percaya keris yang dijulang itu dalam kategori Bugis berdasarkan pangkalnya agak lebar, bilahnya lurus dan ‘tegap’

Kibaran bendera

  • Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu dalam upacara Pemasyhuran Kemerdekaan di Stadium Merdeka
  • Mereka ialah Bintara Kanan Awang Salleh, Laskar Kelas I Mohd Sharif Kalam dan Laskar Kanan Oliver Cuthbert Samuel
  • Awang berperanan sebagai penyelia, Oliver memegang tali manakala Mohd Sharif memegang bendera untuk dinaikkan
  • Mereka berlatih selama empat hari di Depoh Latihan Polis (kini Pusat Latihan Polis) Jalan Semarak, Kuala Lumpur
  • Reka bentuknya dihasilkan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor Mohamed Hamzah yang menang pertandingan anjuran Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan pada 29 November 1949
  • Pertama kali dikibar di perkarangan Istana Sultan Selangor pada 26 Mei 1950
  • Dipinda beberapa kali. Warna bulan sabit dan bintang yang asalnya putih ditukar kepada kuning, simbol warna diraja. 11 jalur melintang merah putih pula ditambah kepada 14 susulan Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Malaysia pada 16 September 1963
  • Dinamakan Jalur Gemilang mulai 31 Ogos 1997 susulan kejayaan pelayaran Datuk Azhar Mansur mengelilingi dunia

Lagu Negaraku

  • Berkumandang pertama kali dalam pada upacara pengisytiharan kemerdekaan tengah malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor
  • Dicipta pada 1957. Pemilihan dibuat Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj
  • Iramanya dipetik daripada lagu negeri Perak yang berasaskan lagu Terang Bulan

Padang sejarah

  • Padang Kelab Selangor menjadi lokasi pertama bendera Union Jack diturunkan tanda berakhirnya penjajahan British pada 30 Ogos 1957
  • Tunku Abdul Rahman tiba di padang ini pada jam 11.58 malam menaiki kereta dengan iringan 30 motosikal
  • Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan Tahir Abdul Majid
  • Keesokannya pengisytiharan kemerdekaan dilangsungkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Dokumen di bilik kebal

  • Berukuran 51cm x 74cm, watikah Pemasyhuran Kemerdekaan diperbuat daripada kulit kambing supaya tahan lama
  • Ditulis individu dari Kelantan dalam bahasa Inggeris dan Melayu bertulisan Jawi
  • Dibaca Tunku Abdul Rahman sebelum melaungkan kemerdekaan tujuh kali
  • Disimpan dalam bilik kebal Arkib Negara berikutan ia adalah sijil kelahiran Persekutuan Tanah Melayu

Sumber: Arkib Negara | Facebook Jabatan Penerangan 19 Ogos 2021 | Portal Majlis Keselamatan Negara | Kosmo! 30 Ogos 2020 | myMetro 29 Ogos 2018

 


Pengarang :