Sukarelawan memeriksa aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Banting Baru, Kuala Langat pada 6 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sistem bernombor pastikan proses suntikan warga asing lancar

BANTING, 6 OGOS: Wakil rakyat Tanjung Sepat menggunakan sistem bernombor bagi warga asing yang menerima suntikan tanpa janji temu melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Borhan Aman Shah menjelaskan kaedah itu bagi melancarkan proses suntikan sekali gus mengurangkan kesesakan di pusat pemberian vaksin (PPV) di kawasan berkenaan.

“Nombor yang diberikan ini mempunyai cop DUN Tanjung Sepat dan penerima bukan warganegara boleh hadir mengikut waktu ditetapkan, sementara warganegara boleh terus daftar di kaunter.

“Kita sasar penerima vaksin bagi warganegara dan bukan warganegara hari ini kira-kira 1,000 berbanding jumlah semalam iaitu lebih 800 individu,” katanya ditemui di Dewan MPKL Banting Baru.

Borhan yang juga EXCO pembangunan luar bandar turut bercadang menjalankan program Selvax Komuniti sekali lagi bersama tiga DUN lain iaitu Morib, Banting dan Sijangkang.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai dengan melayari laman sesawang vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :