Rodziah Ismail berswafoto bersama penerima selepas menyerahkan motosikal Modenas Kriss ketika Majlis penyerahan geran peralatan Sitham Yayasan Hijrah Selangor di Taman Melur, Ampang pada 14 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sitham: 140 usahawan India terima bantuan alat niaga

AMPANG, 14 OGOS: Seramai 140 daripada 200 pemohon menerima bantuan peralatan perniagaan di bawah program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) setakat ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata peralatan pelbagai jenis diserahkan kepada mereka yang kebanyakannya terlibat industri makanan dan minuman secara berperingkat bermula tahun lepas manakala baki 60 orang lagi selewat-lewatnya Oktober ini

“Kita lihat mereka antara usahawan berpotensi, sebab itu diberikan bantuan dan disaran kekal dalam perniagaan masing-masing walaupun ketika ini berdepan masalah pandemik.

“Program Sitham memberi nilai tambah kepada peniaga kerana kita menyediakan bantuan peralatan dan latihan pembangunan untuk memastikan perniagaan mereka terus berkembang,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan geran peralatan Sitham Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berupa motosikal Modenas Kriss kepada dua penerima di Pusat Sehenti Sitham di sini hari ini.

Penerima Sivaneshwaran Rajasakaran, 35, yang hampir sembilan tahun mengusahakan perniagaan susu segar berterima kasih kepada Hijrah kerana memudahkan kelulusan pinjaman peralatan berjumlah RM10,000.

“Bantuan dipohon tahun lalu selepas dimaklumkan Pengerusi Sitham Selangor Thiban Subbramaniam yang turut menjalankan pemeriksaan operasi perniagaan saya di Batu Arang, Kuala Ampang.

“Setelah menunggu lebih setahun, saya dapat sebuah motosikal hari ini yang akan digunakan untuk menghantar susu kepada pelanggan di seluruh Lembah Klang,” katanya yang turut memohon peralatan seperti tong susu dan pemotong rumput.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.


Pengarang :