Seorang peniaga menyediakan juadah yang dijual melalui e-bazar Ramadan. Foto Facebook CSR MBI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skim Niaga Darul Ehsan bantu 970 wanita cari rezeki

SHAH ALAM, 27 OGOS: Seramai 970 usahawan wanita di negeri ini mendapat manfaat program Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) setakat 26 Julai, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha memperkasa golongan tersebut ketika pandemik Covid-19 melibatkan belanja sebanyak RM3.945 juta.

“Menerusi inisiatif ini, usahawan boleh memohon pelan pinjaman minimum RM1,00 hingga RM5,000 tanpa memerlukan premis dan lesen SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).

“Kerajaan Negeri melihat usaha ini sebagai agenda memperkasakan wanita Selangor menerusi bidang keusahawanan,” katanya di Facebook.

NaDi diperkenal dalam Belanjawan Selangor 2021 bagi membantu ramai usahawan wanita kecil-kecilan memulakan atau mengembangkan perniagaan.

Dengan peruntukan RM10 juta, skim yang disusun dalam Pakej Kita Selangor melegakan ramai peniaga bagi mendepani kelembapan ekonomi berikutan wabak Covid-19.

Melalui pembiayaan mudah dengan syarat tanpa perlu memiliki premis tetap dan mendaftar syarikat, program ini dijangka dapat menarik 3,000 usahawan kecil.

Wanita yang berminat boleh hubungi talian 03-5519 1692 (Bahagian Khidmat Profesional) atau layari pautan www.hijrahselangor.com.


Pengarang :