Stadium Shah Alam yang menjadi ikon Selangor perlu menjalani proses baik pulih secara menyeluruh. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Stadium Shah Alam berwajah baharu tahun depan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, kos baik pulih stadium yang dibuka pada 1994 itu dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.

“Stadium mula terjejas apabila ada banjir besar pada 2006 menyebabkan kerosakan sistem di bawahnya, penyelengaraannya juga tinggi mengakibatkan kita rugi RM5 juta, malah pernah RM8 juta.

“Selepas beberapa tahun buat pembaikan kecil-kecilan, sudah tiba masanya kita buat naik taraf sepenuhnya,” katanya pada program bual bicara Tiga Talk malam tadi.

Stadium Shah Alam yang mampu menampung 80,000 penonton tidak dapat digunakan buat masa sekarang akibat kerosakan struktur bumbung.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Oktober tahun lalu, Amirudin mencadangkan projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion di sekitar stadium itu.

Beliau berkata kerjasama strategik dengan swasta itu dilaksana secara perkongsian berkonsepkan
perkotaan hijau berpaksi kelestarian alam dan bandar pintar.


Pengarang :