EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman melakukan gimik pelepasan misi bantuan Kerajaan Negeri melalui Sukarelawan Selangor (SERVE) di Dataran Shah Alam pada 29 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sukarelawan Selangor digerakkan ke Yan, bantu mangsa bencana

SHAH ALAM, 29 OGOS: Hampir 50 Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan ke Yan, Kedah hari ini bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata misi bantuan itu selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

“SERVE terdiri dalam kalangan belia malahan Perdana Menteri baharu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga telah menekankan peranan belia dalam kerajaan baharu ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas gimik pelepasan misi bantuan Kerajaan Negeri melalui Sukarelawan Selangor (SERVE) di Dataran Shah Alam pada 29 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menyambut baik dan ini salah satu inisiatif kita bagi menyokong tema Hari Kebangsaan. Semoga bantuan ini mampu meringankan beban mangsa bencana tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program pelepasan peserta SERVE Misi Bantuan Kerajaan Selangor di Dataran Shah Alam pada jam 5 petang di sini hari ini.

Beliau menjelaskan misi selama tiga hari itu turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang akan tiba pada Selasa ini bagi penyerahan cek bantuan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.

Pada 18 Ogos daerah Yan dilanda banjir kilat dipercayai akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai sehingga memusnahkan beberapa kediaman dan meragut enam nyawa penduduk sekitar kawasan terbabit.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin mengalu-alukan belia menyertai SERVE dan ia boleh dimohon menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran.

SERVE terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dan ia adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Kerajaan Selangor menyasarkan 2,800 ahli atau 50 ahli di setiap 56 DUN pada tahun ini manakala pada tahun hadapan sasaran 5,600 ahli atau 100 orang di seluruh DUN.


Pengarang :