AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan perkenan MDKS dimasyhur sebagai perbandaran

SHAH ALAM, 7 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memperkenan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dimasyhur sebagai perbandaran bermula hari ini.

Yang dipertua Rahilah Rahmat menjelaskan kejayaan mendapat pewartaan itu hasil sokongan dan kepercayaan diberi semua pihak selepas 43 tahun berstatus daerah.

“Tidak dinafikan sepanjang tempoh berkenaan, banyak cabaran didepani namun dianggap sebagai lumrah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana paling penting memberikan perkhidmatan berorientasikan pelanggan, mesra pelabur dan mengutamakan masyarakat setempat.

“Justeru, saya menghargai usaha ditunjukkan semua warga kerja selama ini, pembaharuan kali ini memerlukan pengurusan perubahan bagi memenuhi tuntutan dan kehendak semasa pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena menjunjung titah Sultan Selangor bagi pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Selangor yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya hari ini.

Rahilah berkata beberapa program sambutan sempena penaik tarafan itu terpaksa ditangguhkan sementara berikutan Kuala Selangor masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama.

“Insya-Allah, sekiranya daerah ini mencapai imuniti kelompok dan diberi kelonggaran dalam sedikit masa lagi, beberapa program akan dilaksanakan sebagai tanda penghargaan atas sokongan serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Pada majlis itu, MPKS turut memperkenalkan logo baharu memaparkan rumah api yang menjadi mercu tanda Kuala Selangor selain lagu bertajuk Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan video korporat.

MDKS ditubuhkan pada 6 Februari 1978 melalui gabungan lima majlis tempatan merangkumi Kuala Selangor, Tanjong Karang, Batang Berjuntai, Ijok dan Jeram.

Sejak penubuhannya, PBT itu melalui beberapa siri perluasan kawasan pentadbiran meliputi keluasan 119,452.46 hektar mengikut pelan warta 1414 bertarikh 28 Februari 2006.

Setakat ini penduduk Kuala Selangor dianggarkan berjumlah 273,728 orang dan dijangka meningkat kepada 303,444 pada 2025 berdasarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.61 peratus setahun.


Pengarang :